fb fb fb fb fb

Lebih 500 tan bahan kitar semula dikumpul menerusi PerKISS Pahang

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan, Kuantan muncul Johan Kategori Utama Sekolah Menengah, Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Pahang./RTM

KUANTAN, 8 Oktober - Lebih 500 tan barangan kitar semula dengan nilai melebihi RM300,000 berjaya dikumpul menerusi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed, berkata sebanyak 323 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri menyertai pertandingan itu yang berlangsung dari September tahun lalu hingga Julai tahun ini.

“Pertandingan ini sangat sengit, dan kebanyakan penyertaan didominasi sekolah-sekolah dari Bera, Temerloh dan Kuantan.

“Saya percaya sekolah-sekolah ini mempunyai potensi besar untuk cemerlang di peringkat kebangsaan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.

Program PerKISS, yang dilaksanakan sejak 2014, bertujuan memupuk kesedaran dan membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan warga sekolah di seluruh negara.

Pada majlis tersebut, SJK(C) Menteri, Bera dinobatkan sebagai Johan Kategori Utama Sekolah Rendah, manakala SMK Tengku Afzan, Kuantan muncul Johan Kategori Utama Sekolah Menengah.

Kedua-dua sekolah menerima wang tunai RM1,500, berserta piala dan sijil penghargaan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI