fb fb fb fb fb

Rakyat harus main peranan bersama-sama hadapi bencana, tubuh NADMA di peringkat negeri

KUALA LUMPUR, 20 Januari- Tiba masanya untuk rakyat bersama-sama memainkan peranan dalam kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana.

Persiapan itu termasuk daripada sudut mental sebagai sokongan kepada tugas dan tanggungjawab Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata saranan itu merujuk kajian melibatkan kejadian gempa bumi di Kobe, Jepun pada 1995.

"Kajian itu mendapati 77-peratus mangsa diselamatkan oleh rakyatnya sendiri; terdiri daripada ahli keluarga, jiran tetangga serta penduduk setempat," katanya ketika membentangkan mengenai pengurusan bencana banjir penghujung tahun 2021 dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abdul Latiff turut merujuk pendekatan yang digunakan badan pengurusan bencana di Amerika Syarikat iaitu 'Federal Emergency Management Agency' (FEMA) yang menerapkan kepentingan individu dan masyarakat untuk bersedia mengambil tindakan awalan menyelamatkan diri apabila berlaku bencana.


TELITI CADANGAN NADMA DI PERINGKAT NEGERI DAN DAERAH

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latiff berkata kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat negeri dan daerah.

Langkah itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Disember lalu, supaya struktur NADMA diteliti semula bagi memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

"Perkara ini sedang dalam tindakan NADMA bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.

Mengenai hala tuju pengurusan bencana, Abd Latiff berkata NADMA turut mengambil inisiatif untuk memperkasa Pengurangan Risiko Bencana (DRR) melalui penggubalan dasar DRR termasuk menambah baik kefahaman tentang risiko bencana.

"Mengarusperdanakan pengurusan risiko bencana dengan izin 'Disaster Risk Reduction' bagi meminimumkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kerugian ekonomi; kedua, membina masyarakat yang berdaya tahan dengan izin 'rezilion society' terhadap bencana seperti yang ditunjukkan oleh majoriti daripada masyarakat yang mengalami bencana di enam negeri termasuk yang ada di Taman Sri Muda; ketiga menjamin kesejahteraan masyarakat selepas dilanda bencana," tambahnya.

Media Baharu