KUALA LUMPUR, 20 Januari - Kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama dalam pengurusan bencana negara yang perlu segera ditambah baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masih terdapat kelemahan dalam aspek pemahaman dalam kalangan agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO berkaitan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai tanggungjawab di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana.
Ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah turut menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.
Katanya, struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana.
"Pengurusan bencana negara sangat bergantung kepada maklumat dinamik yang tepat dan cepat dari lapangan. Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
"Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara dan penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsa mangsa banjir masih perlu diperbaiki," katanya ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat.