KUALA LUMPUR, 20 Januari - Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi keseluruhan 2021 kekal antara 3 hingga 4 peratus.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan pengekalan itu berikutan indikator utama menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan.
"Keyakinan pelabur asing pula kekal teguh terhadap keutuhan dan prospek pemulihan negara. Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing bersih berjumlah RM30 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, lebih tinggi berbanding keseluruhan tahun 2020 iaitu RM14.6 bilion," katanya semasa sesi pembentangan Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia sempena Mesyuarat Khas Dewan Rakyat 2022 di Parlimen.
Tambahnya, momentum pemulihan tersebut juga dijangka berterusan sepanjang tahun ini iaitu ekonomi berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus.
Ini sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang masing-masing menyasarkan pertumbuhan 6 dan 5.8 peratus.