fb fb fb fb fb

Rakyat diseru hayati erti kemerdekaan, kibarkan Jalur Gemilang

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tiga, kanan) bergambar sempena Program Edaran Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Stesen LRT Bangsar

KUALA LUMPUR, 23 Ogos -Rakyat Malaysia diseru agar mempertingkatkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan dan kemerdekaan tanah air.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap masyarakat untuk menghargai dan meraikan kebebasan dengan penuh rasa bangga.

"Marilah kita cari apa juga cara untuk kita tingkatkan rasa cinta pada negara, berasa bangga untuk kibarkan Jalur Gemilang kerana ia adalah tanda kedaulatan simbol kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.

"Jadi saya sarankan gunalah apa juga cara dan pasanglah, kibarkanlah jalur gemilang terutama sepanjang Bulan Kebangsaan ini," katanya kepada medis dalam sidang media sempena kempen 'Denyut Nadi Merdeka' di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, di sini.

Terdahulu Datuk Fahmi bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Amir Hamdan menaiki LRT dari Stesen Bangsar menuju ke Stesen Pasar Seni bagi mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 Jalur Gemilang akan diedarkan pihak Prasarana sempena Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, orang ramai juga diseru menyertai pelbagai program patriotik yang dianjurkan hingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

Datuk Fahmi turut menekankan kepentingan mempamerkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan, kemerdekaan dan jati diri rakyat Malaysia.

TETITIA YUSOFF