ARAU, 23 Ogos -Seramai 160 atlet dan 20 pegawai bakal membawa cabaran pasukan UiTM Cawangan Perlis pada Karnival Sukan Staf UiTM (KARISTA) 2025 dalam 22 acara dipertandingkan.
Karnival Tahunan berkenaan akan bermula 25 hingga 30 Ogos ini di UiTM Perlis sebagai tuan rumah dengan penglibatan atlet dari UiTM Cawangan seluruh negara.
Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor menzahirkan rasa bangga terhadap semangat yang ditunjukkan oleh Kontinjen UiTM Cawangan Perlis bagi edisi kali ini.
Beliau turut menyeru agar semua atlet dapat memberikan persembahan terbaik, mengamalkan nilai integriti dan kesukanan sejati serta menjadikan KARISTA 2025 sebagai wadah memperkukuh ukhwah dalam kalangan warga UiTM seluruh Malaysia.
"Pihak pengurusan UiTM Cawangan Perlis menaruh harapan tinggi agar kontinjen kali ini mampu mencapai kejayaan cemerlang dan seterusnya mengharumkan nama UiTM Cawangan Perlis di peringkat nasional," katanya dalam kenyataan sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM Cawangan Perlis yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan kebersamaan di Ruang Legar Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.
Bersempena majlis itu, turut diadakan bacaan ikrar oleh Timbalan Pendaftar Kanan, selaku Ketua Kontinjen, Mohd Khairul Abd Razak yang melambangkan semangat juang, disiplin tinggi serta iltizam seluruh atlet untuk bersaing dengan penuh semangat kesukanan dalam karnival tersebut.