KLUANG, 23 Ogos -Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan selatan akan mula beroperasi pada 30 Ogos ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataan berkata, ia melibatkan laluan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) - Kluang - KL Sentral.
"Pembelian tiket boleh dibuat mulai 8 malam ini melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman sesawang rasmi KTMB," katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan ETS3 bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur hari ini.
Selesai Majlis Peluncuran Khas ETS3, Sultan Ibrahim berkenan untuk memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencecah kelajuan operasi hingga 140 km/j itu, menuju ke Stesen Kluang di Johor.
Loke sebelum ini dilaporkan berkata kedua-dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) yang telah tiba di Malaysia, kini sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semuanya berjalan lancar, ia akan mula beroperasi bulan ini.
Beliau berkata baki lapan lagi set tren ETS3 sedang dipasang secara berperingkat di kilang pemasangan CRRC Rolling Stock Center di Batu Gajah, Perak dengan kesemua 10 tren dijadual beroperasi sepenuhnya awal tahun depan.
Orang awam pula boleh mendapatkan tiket yang dijual bermula malam ini melalui aplikasi KTMB.
Pada peringkat awal, hanya satu perjalanan sehari disediakan dari Kuala Lumpur ke Kluang, dan satu lagi dari Kluang ke Kuala Lumpur, manakala perkhidmatan sedia ada ke Segamat akan diteruskan dan akan ditambah baik dan diteruskan secara berperingkat selaras dengan penerimaan lebih banyak tren.
Pelancaran ini juga bertepatan dengan cuti panjang sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus memudahkan pergerakan rakyat yang pulang bercuti ke selatan tanah air.
Projek Laman Rel Mahkota merupakan sebahagian daripada sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kontraktor terlibat, sebagai ruang riadah yang dikembalikan kepada komuniti setempat.