fb fb fb fb fb

Kerajaan selesai isu pampasan tanah kem Gemas

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai. Foto- BERNAMA

NILAI, 23 Ogos - Kerajaan Persekutuan bersetuju menyelesaikan bayaran pampasan premium tanah tertunggak kepada Kerajaan Negeri Sembilan melibatkan tanah di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas isu berkenaan berlarutan sekian lama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, sekali gus memerlukan penyelesaian segera.

“Dah puluh tahun tak dapat diselesaikan. Kerajaan Madani selesaikan mana yang patut, kita bayar balik kepada Negeri Sembilan. Terima kasih Menteri Besar Negeri Sembilan dan pimpinan negeri yang ada wawasan untuk rakyat,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Madani Rakyat Negeri Sembilan di Dataran Nilai.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan berhadapan isu bersama Kementerian Pertahanan berhubung bayaran tanah seluas 6,653 hektar untuk Pusat Latihan Gabungan Pasukan Tempur di kem berkenaan berjumlah RM2.16 bilion sejak 2014.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut menegaskan transformasi digital negara perlu difahami rakyat agar tidak wujud jurang teknologi dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata penguasaan ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) penting bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara, namun rakyat perlu mempertahankan nilai budaya serta jati diri.

“Menggapai di langit, mengakar di bumi. Dalam penguasaan teknologi baharu, kalau kita tidak jejak di muka bumi, kita akan hilang jati diri dan sahsiah diri,” katanya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN