fb fb fb fb fb

Rakyat disaran amal gaya hidup aktif - Fadillah

Foto FB Fadillah Yusof

KANGAR, 12 Oktober- Rakyat di negara ini disaran untuk mengamalkan gaya hidup aktif bagi memastikan kesihatan yang lebih baik di hari tua.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata antara langkah mudah dan efektif untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan adalah melalui aktiviti seperti berjalan dan bersenam.

"Malaysia sedang menuju ke arah menjadi negara yang menua, di mana jumlah warga emas semakin meningkat.

"Oleh itu, kita perlu memastikan rakyat kita bersiap sedia dari sekarang dengan mengamalkan gaya hidup sihat, agar apabila mencapai usia tertentu, mereka tetap sihat dan cergas, dan cara paling mudah untuk kekal aktif adalah dengan berjalan kaki dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

Beliau juga turut serta dalam aktiviti berjalan santai bersama-sama barisan kepimpinan kerajaan negeri Perlis dan masyarakat.

Selain itu, beberapa aktiviti lain turut dijalankan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan serentak di seluruh negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM