fb fb fb fb fb

Pengambilalihan MASwings dimuktamad dalam masa terdekat

Foto BERNAMA

KUCHING, 12 Oktober - Rundingan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings oleh kerajaan Sarawak bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengambilalihan itu penting dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan udara ke negeri berkenaan.

Bagi mencapai matlamat itu, perkhidmatan udara perlu berada bawah kawalan Sarawak.

"Bukan sekadar sebagai kemudahan untuk membawa penumpang keluar dan masuk tetapi yang lebih penting ianya merupakan suatu pelaburan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan rantaian khidmat sokongan," katanya.

Beliau berucap dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78 Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka, di sini.

Tan Sri Abang Johari turut memaklumkan Sarawak melakar sejarah baharu sebagai pemegang saham terbesar dalam bank konvensional.

Pegangan saham sebanyak 31.25% dalam Affin Bank dijangka mampu memacu ekonomi negeri melalui pelbagai platform fasiliti kewangan.

Beliau sebelum itu mengiringi Tun Dr Wan Junaidi dalam pemeriksaan perbarisan.

Tun Dr Wan Junaidi yang ditemani isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi selepas itu menyaksikan acara utama perarakan 78 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Trainee2