fb fb fb fb fb

Kedai popia terkenal diarah tutup, ada najis tikus

Penutupan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 / Foto RTM

BUKIT BARU, 12 Oktober- Sebuah kedai menjual popia terkenal di Melaka diarah tutup selama 14 hari selepas didapati kotor dan terdapat najis tikus di premis berkenaan.

Premis tersebut adalah antara tiga daripada 24 premis yang diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Negeri dalam Operasi Sarap di sekitar Melaka Tengah.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, berkata penutupan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 24 premis telah diperiksa, dengan tiga premis diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Sebanyak 56 notis telah dikeluarkan dengan jumlah tawaran kompaun bernilai RM16,200 setakat ini," katanya kepada pemberita di sini.

Antara kesalahan lain yang dikesan adalah bahan mentah yang diletakkan di sebelah tong sampah yang tidak bertutup, serta makanan yang diletakkan di atas lantai, selain tempat memasak yang dipenuhi sisa makanan.

Pekerja juga didapati memakai perhiasan ketika mengendalikan makanan.

Dua lagi premis makanan yang ditutup adalah kedai menjual sarapan pagi di sekitar Ayer Leleh dan Durian Daun.

Beliau mengingatkan pengendali premis makanan agar mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.

Dalam pada itu, sebanyak 1,638 premis di Melaka diperiksa dalam 42 operasi bersepadu bersempena penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) setakat semalam.

Beliau berkata, setakat ini tiada kesalahan dikompaun.

Namun, tujuh kesalahan dikenakan tindakan penguatkuasaan iaitu enam kesalahan di bawah Seksyen 16 (2) merokok di kawasan larangan merokok iaitu di tempat makan dan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (1) merokok bagi orang belum dewasa.

"Kita telah memeriksa kedai makan (297), premis perniagaan (1,046) dan kedai serbaneka (74), kedai runcit (86), premis kerajaan (2), kedai vape (18), kedai dobi (2), sekolah dan institusi (1), stesen minyak (2) dan tempat awam (1). Ini adalah senarai premis yang kita periksa selama 10 hari operasi," katanya.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM