fb fb fb fb fb

Rakyat dan atlet Malaysia sambut Hari Kebangsaan Ke-67 di Paris

Foto RTM

PARIS, 1 September - Lebih 200 rakyat Malaysia berhimpun dan menyambut Hari Kebangsaan Ke-67 yang diadakan di Kedutaaan Besar Malaysia di Paris hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim menyatakan sambutan amat menggalakkan dan beliau menyifatkan majlis berkenaan merupakan peluang bagi mengeratkan silaturahim rakyat Malaysia yang telah lama berada di perantauan.

"Kita akan cuba mengadakan lebih banyak aktiviti seperti ini supaya mereka boleh datang berjumpa dengan kita dan dapat mengekalkan semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia," kata Eldeen.

Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas acara sambutan bulan Kebangsaan yang diadakan di Paris, Perancis.

Turut menyertai sambutan hari kebangsaan itu ialah penuntut Malaysia di universiti-universiti serta rakyat Malaysia yang menetap di Perancis.

Selain itu juga majlis diserikan lagi dengan kehadiran dua atlet Para negara iaitu Atlet renang para negara, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan dan memanah Para negara, S Suresh yang sedang dalam misi memburu pingat Emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Hadir sama presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Kontijen negara di sukan Paralimpik Paris 2024 Datuk Subramaniam Raman Nair.

Dalam pada itu beberapa rakyat Malaysia menzahirkan rasa teruja apabila berpeluang menyambut Bulan Kebangsaan walaupun berada jauh dari tanah air.

"Sangat sesuai dengan kami komuniti kecil di Perancis ini, jadi saya secara peribadi memang sangat gembira dengan adanya sambutan seperti ini," kata Mohd Amirul Amin Mohd Zaid.

"Memang dididik untuk mempunyai semangat dan jiwa patriotik jadi sampai di sini kita tunjuklah budaya kita di negara luar," kata Syafiqah Aqila Suriani.

"Sebagai rakyat Malaysia di Perancis ini saya beruntung sebab dijemput ke majlis seperti ini, boleh jumpa kawan-kawan boleh jumpa atlet Malaysia juga dan jumpa orang Malaysia dekat Paris," kata Muhammad Hadim Naim Apandi.

TETITIA YUSOFF