fb fb fb fb fb

Melaka Nightlife hangatkan semangat patriotik sambutan Hari Kebangsaan

Melaka Nightlife edisi September gamat dengan persembahan eksklusif OTM yang memberikan pengalaman menakjubkan kepada semua pengunjung

MELAKA, 1 September - Melaka Bila Larut Malam Edisi September atau 'Melaka Nightlife' memberi suntikan semangat patriotik seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67, pada malam 31 Ogos.

Istana Budaya dalam satu kenyataan berkata, Melaka Nightlife dimeriahkan menerusi program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia - OTM ON THE STREET @ BANDA HILIR MELAKA.

"OTM ON THE STREET @ BANDA HILIR MELAKA yang diadakan di kawasan Stadthuys ini masih mengekalkan konsep asal dalam memberi peluang kepada pelancong dan pengunjung untuk merasai nilai seni muzik tradisional Malaysia dengan lebih dekat," kata Istana Budaya.

Pada majlis itu tetamu diberi peluang merasai kenikmatan auditori gabungan keaslian alat-alat muzik tradisional Malaysia seperti Akordian, Serunai/Rebana, Sape, Sitar, Seruling, Gambus, Keromong, Rebana/Darbuka, Mandolin, Yanqin dan Caklempong.

Seramai 22 orang pemuzik terlibat yang diketuai oleh Konduktor OTM Encik Mohd Yazid Zakaria.

Istana Budaya turut menampilkan penyanyi Dhiya Suhaili serta lapan Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA) dengan mempersembahkan pelbagai jenis tarian sehingga tibanya persembahan bunga api pada malam sambutan hari kebangsaan itu.

"Selain Istana Budaya, acara yang berlangsung selama empat jam ini turut diserikan oleh Yasser Fikri dengan persembahan lagu Senandung Anak Melaka dan tarian seni budaya oleh kumpulan Briged Seni Melaka serta nyanyian oleh Sazali Mohd Sani, Muhd Afiq Danial Ramli, Noraini Othman dan Dayang Syarfa Syazana Datu Shadan," menurut kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Haji Arshad, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

TETITIA YUSOFF