fb fb fb fb fb

Rakyat aset terbesar, Sarawak perkasa pendidikan, kesejahteraan & perpaduan

Foto FB DUN Bukit Saban

KUCHING, 25 Disember - Rakyat merupakan aset terbesar Sarawak dan menjadi keutamaan kerajaan negeri memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang berteraskan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Belanjawan Sarawak 2026 bukan sekadar penyataan kewangan, sebaliknya janji kerajaan negeri untuk memperkasa rakyat, berkongsi kemakmuran dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan.

“Rakyat adalah aset terbesar Sarawak dan perpaduan yang kukuh merupakan asas kepada kemakmuran negeri ini,” tegasnya.

Sebanyak RM9.3 bilion diperuntukkan bagi inisiatif pembangunan, dengan RM6.1 bilion atau 66 peratus disalurkan khusus untuk pembangunan kawasan luar bandar, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik melalui pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di universiti milik Sarawak iaitu dengan peruntukan RM665 juta.

Tumpuan terhadap pendidikan penting bagi memastikan tenaga kerja masa depan Sarawak kekal berdaya saing, berkemahiran tinggi serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan teknologi global.

Bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM640 juta bagi pelaksanaan sumbangan keperluan asas, dengan kadar bantuan ditingkatkan kepada RM950 bagi setiap keluarga, RM500 bagi warga emas dan RM300 bagi individu bujang.

Datuk Amar Douglas Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas peruntukan RM120 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain, UNIFOR tahun hadapan.

Dalam perutusan Krismas dan Tahun Baharu, beliau menyeru seluruh rakyat agar terus bersatu padu, saling menghormati serta melangkah ke tahun 2026 dengan harapan baharu demi Sarawak yang aman, makmur dan harmoni.

ROSLINA BINTI DIN