fb fb fb fb fb

Hampir 100 peratus penggunaan SARA di Labuan

Petugas pasar raya mengimbas MyKad seorang pengunjung yang membeli barangan keperluan harian menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)/ BERNAMA

LABUAN, 25 Disember - Labuan menghampiri 100 peratus purata penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali gus membuktikan inisiatif Kerajaan MADANI itu benar-benar memberi manfaat kepada penerima dan membantu meringankan kos sara hidup.

Bagi penjawat awam, Tengku Syarizan Tengku Ameran, SARA RM100 bantuan tunai sekali beri meringankan beban kos sara hidup.

"Alhamdulillah, kerajaan MADANI memberi manfaat yang sangat besar kepada kami golongan B40. Walaupun RM100, namun nilainya amat membantu. Saya dapat membeli beras dan sardin.

"Cuma jika bantuan ini boleh digunakan untuk semua kategori barangan termasuk barang basah, ia akan lebih memudahkan," katanya ketika ditemui RTM.

Seorang lagi penerima Mohamad Hafiz Deraman, berkata, inisiatif SARA merupakan langkah tepat kerajaan dalam membantu rakyat.

"SARA ini sangat baik terutama untuk rakyat marhaen. Ia membantu golongan kurang berkemampuan membeli barangan keperluan asas seperti gula, beras dan sardin.

"Kerajaan MADANI jelas prihatin terhadap rakyat, khususnya golongan B40 dan saya berharap bantuan ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Manakala Ketua Keselamatan di Jabatan Laut Labuan, Izzanidah Longginus Pius berkata, bantuan tersebut banyak membantu menampung perbelanjaan seisi keluarga.

"Bantuan RM100 setiap bulan atas nama suami saya banyak membantu menampung kehidupan kami sekeluarga. Ia digunakan untuk membeli keperluan makanan, menambah stok barangan dapur serta keperluan anak-anak. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu rakyat seperti kami," katanya.

Bagi Chin Vui Oi pula bantuan SARA dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas.

"Memang tidak mencukupi sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya boleh beli barangan yang perlu sahaja seperti beras, minyak dan gula. Dengan bantuan ini, banyak keperluan asas dapat dibeli. Kerajaan memang bagus, terima kasih," katanya.

Bagi peniaga, Kong Shu Pui pemberian tambahan SARA RM100 pada Februari 2026 menjelang perayaan memberi manfaat lebih besar kepada isi rumah.

"Menjelang Tahun Baharu Cina nanti, kerajaan beri lagi sekali SARA, jadi jumlahnya RM200. Semua yang berumur 18 tahun ke atas dapat.

"Jika satu keluarga ada empat atau lima orang, bantuan boleh mencecah RM400 hingga RM500. Ini sangat membantu untuk membeli barangan keperluan," katanya.

Menerusi belanjawan 2026, kerajaan akan memberi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri kepada semua 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pada pertengahan Februari 2026.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI