fb fb fb fb fb

Rakan Niaga SARA meningkat kepada 8,400 kedai di seluruh negara

Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Jumlah Rakan Niaga bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada 8,400 buah kedai di seluruh negara setakat 21 Oktober, berbanding hanya 700 kedai pada tahun 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata peningkatan itu menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap pelaksanaan SARA yang melibatkan pelbagai jenis premis.

“Bilangan Rakan Niaga SARA ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Ini termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan juga pedalaman untuk memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat hari ini mengenai impak terhadap kedai runcit kampung yang tidak tersenarai sebagai vendor SARA MADANI.

Lim berkata, bagi memastikan kedai runcit dan pasar raya di luar bandar serta pedalaman turut menerima manfaat, pelaksanaan program SARA di lapangan turut digabungkan dengan Program Jualan Rahmah (PJR).

“Melalui kaedah ini, penerima bukan sahaja menikmati harga barangan lebih murah tetapi juga boleh membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad di premis Rakan Niaga SARA yang kebanyakannya merupakan kedai runcit persendirian tempatan,” katanya.

Tambah beliau, penetapan lokasi kedai dan pasar raya Rakan Niaga SARA turut mengambil kira bilangan penerima bantuan dalam radius sekurang-kurangnya 10 kilometer.

Ini termasuk di kawasan pedalaman, bagi memastikan peluang sama rata kepada kedai runcit tempatan untuk menyertai inisiatif Rakan Niaga SARA.

Tambah beliau sebanyak RM15 bilion diperuntukkan kerajaan untuk program STR dan SARA pada tahun depan berbanding hanya RM10 bilion pada tahun 2024.

GRACE AISYAH KEDAYAN