KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Kos dan kadar bayaran haji bagi jemaah Muassasah kekal untuk musim haji tahun hadapan.
Lembaga Tabung Haji mengekalkan kadar sama seperti tahun lalu dan akan menanggung lebih RM210 juta bantuan kewangan haji bagi membantu jemaah kumpulan B40 dan M40.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata langkah itu membolehkan jemaah haji Muassasah menunaikan ibadah tanpa peningkatan untuk tiga tahun berturut-turut, meskipun berdepan kenaikan harga di Tanah Suci.
“Kadar bayaran haji dikekalkan pada RM15,000 bagi jemaah B40, RM23,500 bagi M40, manakala jemaah T20 membayar penuh RM33,300 seorang.
"Bagi kumpulan B40, bantuan kewangan daripada TH berjumlah RM17,300 dan tambahan bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 menjadikan keseluruhannya 55 peratus daripada kos penuh ditanggung kerajaan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, TH yakin dapat memberikan tahap perkhidmatan yang cemerlang kepada bakal jemaah Haji.
"Kami akan berusaha untuk terus mengekalkan tahap perkhidmatan tinggi yang sentiasa diharapkan,” katanya
Sementara itu, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober.
Manakala permohonan rayuan haji dibuka mulai 3 November 2025 melalui platform THiJARI.
TH turut menasihatkan bakal jemaah supaya mencukupkan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dan memastikan maklumat peribadi dikemas kini, selain menghadiri Kursus Asas Haji yang sedang dijalankan di lebih 200 masjid di seluruh negara.
Sejak Bantuan Kewangan Haji diperkenalkan pada 2001, jumlah terkumpul Bantuan Kewangan Haji yang ditanggung oleh TH telah mencecah lebih RM2.72 bilion dalam tempoh 25 tahun.