fb fb fb fb fb

Jalan mendap: Susur ke Taman Desa Mutiara dibuka semula Ahad ini

Mohd Jafni Md Shukor melakukan tinjauan kerja baik pulih struktur jalan mendap dan retak di susur keluar dari lebuh raya ke Taman Desa Mutiara, Johor Bharu

JOHOR BAHRU, 22 Oktober- Kerja pembaikan struktur jalan mendap dan retak di susur keluar dari lebuh raya ke Taman Desa Mutiara di sini kini berada pada fasa akhir pemasangan serta pengukuhan konkrit dan dijangka siap sepenuhnya pada 27 Oktober, Ahad ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja baik pulih itu menggunakan reka bentuk baharu dengan tetulang T20mm yang lebih kukuh dan tahan lama.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kerosakan berpunca daripada struktur slab konkrit pada lubang utiliti yang kecil dan tidak tebal, selain besi tetulang sedia ada gagal menampung beban kenderaan berat.

Katanya lagi, pihak kontraktor dan agensi teknikal yang terlibat telah diarahkan mempercepat kerja pembaikan serta memastikan kawalan keselamatan lalu lintas di kawasan berkenaan sentiasa terjamin.

SITI AISHAH BINTI MD ISA