KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Projek tenaga hijau (berasaskan angin) dari Vietnam yang bakal dilaksana di Kelantan akan melibatkan dua fasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan fasa pertama akan melibatkan pembangunan kapasiti tenaga angin luar pesisir sebanyak 2,000 megawatt (MW) dan pembinaan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia.
Projek tersebut dijangka selesai pada tahun 2034.
Sementara itu, fasa kedua akan melibatkan sambungan talian penghantaran dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia melalui laluan darat Kemboja, Laos dan Thailand.
Projek itu akan dipertimbangkan tertakluk kepada keperluan tenaga serta penilaian ekonomi setelah fasa pertama selesai sepenuhnya.
"Talian penghantaran elektrik di Semenanjung Malaysia akan diperkukuh bermula dari lokasi pendaratan kabel dasar laut di Kelantan, merentasi negeri Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Usaha pengukuhan ini bertujuan memperkukuh bekalan tenaga untuk kegunaan pelanggan dalam negara serta bagi tujuan eksport ke Singapura.
Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan sejak Mei 2025, dengan sasaran talian penghantaran tersebut beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030," kata Datuk Seri Fadillah di Dewan Rakyat, hari ini.
Ujarnya, dengan pengukuhan talian penghantaran tersebut, seluruh negara dan negeri terlibat akan mendapat manfaat dari segi peningkatan bekalan elektrik, selain pulangan pelaburan melalui eksport ke Singapura.
Beliau menjawab soalan di kemukakan wakil Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi di Dewan Rakyat.