KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Malaysia menyasarkan potensi kemajuan melalui pelaburan bersama dalam pembangunan modal insan dan pengiktirafan kemahiran rentas sempadan di bawah Kepengerusian ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bekerjasama rapat dengan Sekretariat ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta International Organisation of Employers (IOE) bagi membangunkan rangka kerja baharu yang menyokong mobiliti dan daya saing tenaga kerja serantau.
“Menerusi ASEAN Year of Skills, keutamaan kita adalah jelas, pertama, memperkukuh sistem kemahiran negara agar pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 serta ekonomi hijau.
“Kedua, memperluas peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada wanita, belia, orang kurang upaya serta pekerja sektor tidak formal.
“Ketiga, mempromosikan pengiktirafan bersama kemahiran rentas sempadan supaya ASEAN dapat bergerak sebagai satu rantau dengan tenaga kerja yang mudah alih, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Global Skills Forum 2025 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan masa depan rantau ini tidak dapat dibentuk secara bersendirian, sebaliknya memerlukan semangat kerjasama dan pelaburan bersama dalam kemahiran, ilmu dan bakat rakyat ASEAN.
Beliau berkata kemahiran merentasi sempadan dengan ilmu tidak mengenal kewarganegaraan dan bakat yang dipupuk bersama mampu mengangkat seluruh rantau ke tahap lebih tinggi.
“Inilah semangat di sebalik ASEAN Year of Skills 2025, menyatukan negara-negara anggota bahawa masa depan ASEAN terletak pada kekuatan rakyatnya,” katanya.
Katanya, dengan hampir 700 juta penduduk majoritinya berusia di bawah 35 tahun, ASEAN merupakan antara rantau termuda dan paling dinamik di dunia.
“Jika kita melabur dengan bijak, golongan belia ini mampu memacu inovasi dan kemakmuran untuk beberapa dekad akan datang. Namun jika diabaikan, kita berisiko kehilangan satu generasi kepada ketidaksamarataan dan ketidakrelevanan,” tambahnya.