KUALA TERENGGANU, 29 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) mengambil inisiatif memperkenalkan program Rakan Muda seawal usia kanak-kanak dengan memanfaatkan sepenuhnya fasiliti agensi tersebut untuk manfaat komuniti setempat.
Antara pengisian utama program ialah tayangan filem animasi tempatan Mechamato Movie di skrin besar, yang menjadi daya tarikan kepada kanak-kanak serta ibu bapa untuk bersama-sama hadir. Pendekatan santai itu berjaya mewujudkan suasana mesra keluarga sambil memperkenalkan nilai-nilai positif kepada generasi muda.
Serentak dengan tayangan tersebut, pertandingan mewarna turut dianjurkan bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik, sekali gus menjadi simbol perpaduan masyarakat.
Seorang peserta, Leow Yu Yuen, 43, yang bekerja sebagai arkitek di Melbourne, berkata program ini memberi pengalaman berharga kepada anak-anaknya.
“Program ini bagus sebab satu keluarga dapat bersama, berkumpul dan meneroka kreativiti dari usia kecil,” katanya.
Bagi Noor Hashimah Ali, 39, pula, program seumpama itu seharusnya diteruskan bukan sahaja ketika cuti sekolah.
“Ia sangat bermanfaat kerana mengisi masa lapang serta mengeratkan hubungan kekeluargaan antara ibu bapa yang bekerja dengan anak-anak,” katanya.
Pelukis tempatan, Taib Abdul Razak atau nama penanya Taib Aur, menilai penganjuran itu mampu mengangkat seni lukis dalam kalangan generasi baharu.
Taib Abdul Razak atau nama penanya 'Taib Aur' melukis sepenuh masa sejak 2005 turut serta dalam program berkenaan
“Dari mewarna boleh berkembang kepada melukis, mengecat, dan cabaran seni yang lebih besar,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu, Muhammad Muzzammil Mokhetar, melihat pendekatan ini sebagai penanda aras baharu dalam membina asas kepimpinan belia akan datang.
Timbalan Pengarah JBSNT, Nurul Afifa Sofina Azmi pula berkata sambutan menggalakkan membuktikan pendekatan ini dapat merapatkan jurang usia dan latar belakang.
“InsyAllah kita akan bawa lebih banyak program menarik pada tahun depan demi memperkasa potensi belia, bukan sahaja pada peringkat belia tetapi juga kanak-kanak,” katanya.
Selain tayangan filem dan pertandingan mewarna, turut diadakan pertandingan bola sepak 3 sebelah, senamrobik serta pelbagai aktiviti lain dengan penyertaan lebih 500 peserta di JBSNT, Kuala Terengganu.