JOHOR BAHRU, 15 November - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, kemajuan ilmu pada masa kini perlu selari dengan kemajuan adab, terutamanya dalam menghadapi arus teknologi dan kecerdasan buatan.
Baginda menekankan, nilai murni ini perlu dipupuk sejak di peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi, sambil menekankan bahawa adab tidak terhasil daripada peraturan semata-mata, sebaliknya melalui contoh, teladan, kasih sayang dan rasa hormat antara manusia.
“Saya berharap beberapa kejadian yang menggemparkan negara sejak kebelakangan ini dijadikan pengajaran. Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” titah baginda.
Selain itu, universiti juga perlu menjadi platform bagi menjaga kesejahteraan sosial dan kesihatan mental pelajar.
Titah itu disampaikan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69 di Johor Bahru, yang menyaksikan seramai 7,156 graduan menamatkan pengajian.
Majlis sama turut menyaksikan mantan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie, dianugerahkan Ijazah Kehormat, manakala empat individu menerima gelaran Profesor Emeritus iaitu Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Datuk Dr Mohd Tajuddin Ninggal, Dr Awaluddin Mohamed Shaharoun, dan Dr Ghazali Sulong.