KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Festival Taman Kuala Lumpur (KLPF) 2025 bertempat di Taman Tasik Titiwangsa.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda diiringi Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Festival Taman Kuala Lumpur 2025 merupakan penganjuran kali kedua selepas diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2023. Tahun ini ia diadakan bermula 17 sehingga 26 Oktober dan dibuka secara percuma kepada orang ramai.
Bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, festival kali ini membawa tema “Kesatuan ASEAN Dalam Kepelbagaian” dengan menampilkan keunikan budaya dan warisan Malaysia serta menyerlahkan keindahan laman, arca, tumbuhan dan reka bentuk taman dari negara-negara anggota ASEAN.
Edisi kali ini membawa dimensi yang lebih sejagat dan berprestij antarabangsa dengan meraikan keunggulan landskap serta reka bentuk ala sekitar di peringkat global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam sembah ucapannya berkata festival kali ini bukan sekadar meraikan keindahan flora.
Malah, menjadi pemangkin pembangunan ekonomi hijau bandar melalui peningkatan aktiviti pelancongan, perhotelan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Untuk tahun ini, festival ini menyasarkan kehadiran seramai 250,000 pengunjung. Ini adalah satu lonjakan yang signifikan berbanding 150,000 pengunjung pada tahun 2023.
"Selain memberi manfaat ekonomi, festival ini juga akan turut menyumbang kepada pertumbuhan industri hortikultur tempatan. Ia membuka ruang kepada pengusaha nurseri, bunga, pereka landskap, pelajar dan penyelidik untuk memperkenalkan reka bentuk landskap yang berinovatif, teknologi hijau dan solusi lestari hasil ciptaan tempatan," katanya.
Datuk Seri Dr Zaliha berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2025 di ibu negara.
Antara pengisian menarik menanti pengunjung ialah “Mistikal Titiwangsa” iaitu pengalaman yang menggabungkan elemen hortikultur, teknologi visual dan kisah rakyat Malaysia seperti Puteri Gunung Ledang dan Si Tanggang bagi mencipta suasana fantasi interaktif yang memukau.
Festival ini turut menampilkan KL Genta: Festival Gendang dan Tarian yang mempersembahkan keindahan irama serta gerak tari daripada enam negara ASEAN dan empat negeri di Malaysia sebagai simbol keharmonian rentas budaya.
Turut menjadi tumpuan ialah Fiesta Makanan Halal ASEAN yang menawarkan pengalaman gastronomi unik dengan pelbagai juadah halal dari negara-negara ASEAN termasuk Indonesia, Kemboja dan Thailand.
Selain itu, lebih 100 gerai dibuka menerusi Bazar Pasaran ASEAN yang merangkumi jualan produk seni dan kraf, ruang kolaborasi komuniti di bawah Agenda Tempatan 21, aktiviti luar seperti glamping, sukan air, e-sukan dan permainan tradisional.