PUTRAJAYA, 17 Oktober - Tiga langkah segera dicadangkan bagi menangani isu keselamatan di sekolah termasuk kes buli dan jenayah yang semakin membimbangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah tersebut termasuk pemantauan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan sekolah, larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar bawah 16 tahun serta penambahbaikan kandungan pendidikan.
“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan beri ulasan lebih panjang tetapi kerana saya sebut di sini ada langkah-langkah yang patut segera diambil umpamanya menjamin keselamatan sekolah, kita dah bincang, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri akan memastikan pemantauan kawasan keselamatan sekolah itu menjadi tugas mereka.
“Kedua, kita dapati kesan pengaruh media sosial dan juga penting gaming atau online games ini, kadang kala menjurus banyak tindakan jenayah. Itu akan ambil tindakan larang penggunaan telefon pintar untuk pelajar umur bawah 16 tahun. Penelitian masih dibuat,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surah Jannahtul Firdaus, PPAM Seruling di sini.
Selain penambahbaikan kandungan pendidikan yang menekankan akhlak pelajar, Datuk Seri Anwar menegaskan peranan ibu bapa juga penting dalam memastikan anak-anak bukan sahaja cemerlang akademik malah soal nilai dan sahsiah.
“Tentunya peranan ibu bapa. Ada 4-5 juta pelajar, universiti ada kes bunuh, kes buli terus menerus. Jadi peranan ibu bapa penting.
"Ini dalam negara MADANI kita tekankan soal nilai, akhlak, pendidikan betul harus cemerlang tetapi harus diteliti. Ramai yang terdedah dengan pendidikan Islam termasuk tahfiz, sekolah menengah agama cuma kadang-kadang kefahaman dan kesedaran itu tidak digarap,” jelas beliau lagi.