fb fb fb fb fb

Pemulihan kesihatan mental mangsa bencana perlu diberi perhatian

Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 di Methodist Pilley Institute, Sibu

SIBU, 17 Oktober - Kesedaran terhadap kesihatan mental perlu menjadi sebahagian penting dalam setiap pelan pemulihan bencana dan usaha kesihatan awam.

Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kesejahteraan mental sama penting dengan kesihatan fizikal kerana tekanan dan kemurungan selepas berlakunya bencana seperti banjir boleh menjejaskan tumpuan, tidur serta tahap kesihatan seseorang.

“Apabila kita menjaga kesihatan mental, kita membantu rakyat pulih dengan lebih cepat dan menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 di Methodist Pilley Institute, hari ini.

Teks ucapan beliau di program anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sibu itu dibacakan oleh Penghulu Ting Tien Huat.

Beliau berkata, tema sambutan tahun ini ‘Akses Kepada Kesihatan Mental dalam Bencana dan Kecemasan’ amat relevan dengan situasi di Sarawak yang sering berdepan bencana banjir setiap tahun.

“Awal tahun ini, lebih 12,000 penduduk di seluruh Sarawak terpaksa berpindah akibat banjir, termasuk lebih seribu di Sibu.

“Di sebalik angka itu, terdapat insan sebenar yang berdepan ketakutan, kehilangan dan kesusahan. Apabila air surut, ramai masih dibayangi rasa bimbang dan sedih.

“Ini adalah perasaan semula jadi, namun ia mengingatkan kita bahawa pemulihan bukan hanya tentang membina semula rumah, tetapi juga memulihkan harapan dan ketenangan jiwa,” katanya.

Datuk Michael turut memuji usaha Kementerian Kesihatan (KKM) melatih petugas barisan hadapan dan sukarelawan dalam Bantuan Psikologi Awal (PFA) bagi membantu mangsa bencana dengan lebih berkesan.

“Dalam saat sukar, manusia memerlukan belas kasihan sebelum apa-apa yang lain. PFA membantu kita mendengar dengan tenang, memberi sokongan, dan menyalurkan mereka kepada bantuan yang sesuai,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Sibu, Lembaga Pelawat Hospital Psikiatri, rakan kerjasama, media serta semua penaja yang menjayakan program berkenaan.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan dana berjumlah RM20,000 kepada Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sibu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE