fb fb fb fb fb

Malaysia, Singapura laksana kajian sambungan elektrik kedua

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (kiri) berjabat tangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif SGEI, Ong Teng Koon (kanan) selepas menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) di Kuala Lumpur. Turut menyaksikan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah)/TNB

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Malaysia dan Singapura akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan penuh bagi pembangunan sambungan elektrik kedua antara kedua-dua negara yang dijangka mempunyai kapasiti sehingga 2,000 megawatt (MW).

Menurut kenyataan bersama, projek sambungan berkenaan disasarkan beroperasi menjelang 2030.

Langkah itu dijangka memperkukuh kerjasama tenaga serantau dan meningkatkan keupayaan perdagangan elektrik rentas sempadan.

Selain itu ia juga dapat mempercepat integrasi tenaga boleh diperbaharui dalam rangka Grid Kuasa ASEAN (APG).

Kajian tersebut akan dilaksanakan melalui Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) yang ditandatangani antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), SP Group, dan Singapore Energy Interconnections (SGEI) bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) di Kuala Lumpur.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Tenaga, Sains dan Teknologi Singapura, Dr. Tan See Leng.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata sambungan kedua itu merupakan langkah penting ke arah memperluaskan perdagangan elektrik serantau serta menjamin kestabilan tenaga jangka panjang.

“TNB komited memperkukuh kerjasama tenaga serantau selaras dengan inisiatif Grid Kuasa ASEAN. Kajian kebolehlaksanaan ini adalah langkah penting bagi memperluaskan perdagangan elektrik rentas sempadan, meningkatkan keterjaminan tenaga dan menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Group, Stanley Huang, berkata kajian berkenaan akan membuka ruang kepada kerjasama lebih erat dengan Malaysia dalam membangunkan infrastruktur tenaga rendah karbon.

“Sebagai pengendali grid Singapura, kami komited memperkukuh infrastruktur tenaga serantau. Kajian ini menjadi landasan untuk meningkatkan keterjaminan tenaga menerusi kepelbagaian sumber tenaga rendah karbon,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif SGEI, Ong Teng Koon, pula menyifatkan inisiatif itu sebagai bukti komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan tenaga dan kecekapan grid serantau.

“Kerjasama ini mencerminkan usaha bersama Malaysia dan Singapura memperluas perdagangan elektrik serta meningkatkan kecekapan grid antara kedua-dua negara,” katanya.

JDA tersebut menyusuli kejayaan kajian prakebolehlaksanaan yang dilaksanakan oleh SP Group dan TNB pada Mei 2025, yang mendapati tiada halangan teknikal bagi pelaksanaan sambungan kedua itu.

Sambungan pertama antara Malaysia dan Singapura telah diwujudkan pada tahun 1983 dan dinaik taraf pada 2022 bagi membolehkan aliran elektrik dua hala sehingga 1,000 MW.

Ia kini menyokong dua projek perdagangan elektrik rentas sempadan — Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) dan projek rintis Energy Exchange Malaysia (ENEGEM).

Sambungan kedua yang bakal dibangunkan dijangka menjadi pemangkin kepada visi APG dalam memperkukuh sambungan grid serantau dan memperluas pasaran tenaga elektrik ASEAN.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD