PUTRAJAYA, 17 Oktober- Hukuman ringan seperti merotan di bahagian tapak tangan adalah wajar jika bertujuan mendidik dan menegur pelajar-pelajar yang membuat kesalahan kecil di sekolah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam soal membentuk sahsiah pelajar, guru-guru seharusnya diberi sedikit kelonggaran dengan syarat yang ketat bagi melaksanakan hukuman tersebut.
“Kalau kes buli kecil, nasihatlah. Bukan semuanya kena rotan. Dulu kalau saya mungkin pendidikan lama, kita terdidik dengan sistem janganlah pukul hempuk kepala sampai luka. Tetapi guru menegur, merotan tangan hal-hal yang ringan sedikit.
“Kadang-kadang golongan hak asasi liberal ini keterlaluan tak boleh langsung. Beri sedikit kelonggaran dengan syarat syarat yang ketat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat jumaat di Surau Jannahtul Firdaus PPAM Seruling di Putrajaya.
Tambah Datuk Seri Anwar, sekiranya kesalahan kecil di sekolah tidak diambil tindakan, ia berkemungkinan boleh membawa kepada kesalahan yang lebih besar pada masa akan datang.