fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong akan terus terlibat dalam pengurusan YKTLJ

FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Raja Zarith Sofiah bertitah akan terus terlibat secara langsung dalam pengurusan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) walaupun kini berperanan sebagai Raja Permaisuri Agong.

“Sebagai bonda kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil, adalah menjadi tanggungjawab saya bagi meneruskan hasrat Almarhum untuk membantu pesakit kanser yang tidak berkemampuan” titah baginda ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah YKTLJ bagi tahun 2023 hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung Istana Polo, Pasir Pelangi itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah YKTLJ, Datuk Dr Mohd Khairi Yakub dan Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa serta Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Ikmal Izam Zaini.

Hadir sama, setiausaha syarikat, Lilian Low, juruaudit syarikat, Huang Shze Jun serta kakitangan YKTLJ.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Mohd Anizam Jamian dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamudin Abd Rahim.

Laporan prestasi dan pencapaian YKTLJ pada 2023 turut  dipersembah kepada Raja Zarith Sofiah dalam mesyuarat berkenaan.

Antara aktiviti dan program yang telah dilaksanakan oleh YKTLJ seperti Laksamana Run, Majlis Makan Malam Amal, menaik taraf Pusat Rawatan Harian Onkologi di hospital, lawatan ke rumah dan wad pesakit.

YKTLJ yang ditubuhkan pada tahun 2016 telah membantu lebih 3,718 kes melibatkan peruntukan lebih RM11.3 juta termasuk beberapa kemudahan untuk rawatan pesakit kanser di hospital seluruh Johor.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE