IPOH, 6 Februari - Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM212.42 juta di bawah perbelanjaan pembangunan untuk negeri Perak tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan akan menumpukan kepada pembangunan kemudahan dan infrastruktur fasiliti kesihatan melibatkan 17 projek baharu dan 13 projek sambungan.
"KKM sentiasa komited memberikan tumpuan dan komitmen untuk memanfaatkan peruntukan ini supaya ianya dapat dipastikan pembangunan ini tidak lengah, tidak lewat supaya seterusnya kita dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negeri Perak khususnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke projek dan fasiliti kesihatan negeri Perak di Klinik Kesihatan Chemor, di sini.
Pada lawatan itu, beliau mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM100,000 bagi menaik taraf tandas dan RM150,000 bagi pembelian peralatan perubatan di Klinik Kesihatan Chemor.