KLANG, 29 September- Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah hari ini berkenan menghadiri raptai penuh istiadat perarakan pernikahan baginda bersama pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz, di sini.
Raptai yang bermula pada 9.00 pagi itu diiringi Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat serta paluan kompang oleh kumpulan Istana Diraja Selangor.
Dalam sesi berkenaan, Tengku Amir diarak menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 sejauh kira-kira 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah bagi simulasi istiadat pernikahan yang dijalankan secara tertutup.
Raptai turut diserikan dengan pelepasan dua das tembakan meriam.
Difahamkan, pada hari istiadat sebenar, sebanyak 11 das tembakan akan dilepaskan sebagai simbolik selesai istiadat pernikahan.
Istiadat Pernikahan Diraja akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 2 Oktober, manakala Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja pada 22 Oktober.