KANGAR, 29 September -Golongan belia perlu sentiasa aktif melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat komuniti sebagai usaha memperkasakan kepimpinan belia negara.
Ini berikutan kepimpinan belia pada tahun hadapan akan diterajui sepenuhnya oleh individu berusia 30 tahun ke bawah.
Sehubungan itu, Program Belia Youth Hub di Taman Kemajuan yang disertai 146 belia dilaksanakan bagi membolehkan anak-anak muda bersama kepimpinan belia diperingkat negeri merangka program yang memberi manfaat kepada belia di seluruh Perlis.
Presiden Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs), Mohd Jeffry Hassan berkata, program itu sebagai medan berkongsi pandangan, membudayakan gaya hidup sihat dan aktif.
"Program dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perlis dan Kepimpinan Komuniti Taman Kemajuan. Bersempena program ini, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuklah e-sport mobile legend, BBQ dan forum bersama belia," katanya menerusi kenyataan itu.