fb fb fb fb fb

Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai perkasa komuniti

Kerjasama strategik ini memperlihatkan sinergi antara kepimpinan negeri dengan institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat/ Foto Istana Arau

KUALA PERLIS, 24 Disember - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan inisiatif pencahayaan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai di Dataran Sanai, Kampung Pulau Ketam di sini.

Program hasil inisiatif Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam itu bertujuan memperkasa pembangunan komuniti melalui pengindahan persekitaran berteraskan identiti setempat, warisan budaya dan kesejahteraan rakyat.

Inisiatif pengindahan Projek Transformasi Diraja Kampung Warna-Warni Seberang Ramai ini dilaksanakan hasil kunjungan Tun Mohd Ali Rustam bersama rombongan ke kampung berkenaan pada 3 Disember lalu, yang telah membuka ruang perbincangan, serta pertukaran pandangan secara langsung berkaitan potensi pembangunan komuniti setempat.

Susulan kunjungan tersebut, satu kerjasama pintar telah dijayakan melibatkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mengadaptasikan kepakaran akademik dan teknikal kedua-dua institusi dalam merangka konsep, reka bentuk, serta pelaksanaan projek pengindahan yang berimpak tinggi dan lestari.

Kerjasama strategik ini memperlihatkan sinergi antara kepimpinan negeri dengan institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat dalam merealisasikan agenda pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat, sekali gus menjadikan Kampung Warna-Warni Seberang Ramai sebagai model transformasi komuniti yang berdaya saing dan beridentiti.

Kemuncak acara, Tuanku Syed Faizuddin menyempurnakan simbolik pencahayaan kampung, serta berkenan menerima "e-Beca" yang dipersembahkan oleh Tun Mohd Ali Rustam.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

MASNIZA AWANG KECHIK