PUTRAJAYA, 29 Oktober- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyertai aktiviti berbasikal dalam Program Ramah Mesra Bersama Warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail berkata baginda berkenan menyertai 111 warga POLYCC berkayuh sejauh 15 kilometer mengelilingi Putrajaya, bermula 7 pagi tadi di Galeria PjH.
Beliau berkata kumpulan itu berhenti di lokasi tertentu untuk beramah mesra dengan masyarakat di sini, termasuk penyampaian sumbangan 10 bakul makanan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada pengawal keselamatan Masjid Putra, Putrajaya.
“Seterusnya, baginda bersama-sama warga POLYCC meneruskan kayuhan ke Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK), Presint 8 bagi beramah mesra dan melihat aktiviti kursus pendek di bawah kelolaan Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) dan Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) bersama-sama Persatuan Warga Emas Putrajaya dan Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya," katanya kepada pemberita selepas program itu.
Terdahulu, beliau turut menyerahkan buku hasil sumbangan warga POLYCC kepada pihak PPK sambil disaksikan oleh Tuanku Syed Faizuddin.
Aktiviti berbasikal berakhir di Galeria PjH dan seterusnya baginda berkenan mendengar sembah taklimat pengurusan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang disampaikan oleh Mohd Zahari.