fb fb fb fb fb

Laksana model PPP naik taraf lapangan terbang kurang berdaya saing

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook/FOTO FAIL

IPOH, 29 Oktober - Projek menaik taraf lapangan terbang yang kurang berdaya saing akan dilaksanakan secara model Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa ini Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menghentikan pelaburan untuk membangunkan mana-mana lapangan terbang yang kurang berdaya saing, berikutan kekangan kewangan.

Jelas beliau menerusi model PPP, pihak swasta yang membuat pelaburan akan memperoleh pulangan daripada cas perkhidmatan kepada penumpang selain ruang premis-premis perniagaan.

"Jadi ini merupakan model yang kita lihat sekarang ini, bagaimana juga untuk mendapat pelaburan swasta untuk berusaha sama dengan pihak MAHB, jadi ini sesuatu memang saya utarakan kepada MAHB untuk mengkaji dan melihat kita mesti bersedia menggunakan pendekatan baharu ini, sebab memang saya rasa bahawa negara kita memerlukan satu model yang baharu untuk kita pastikan lapangan terbang-lapangan terbang ini dapat dibangunkan dengan lebih baik," kata Anthony Loke kepada media pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-22 di sini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah menerima permohonan Kerajaan Negeri Perak berhubung cadangan khusus bagi menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di bandar raya Ipoh.

Usaha menaik taraf lapangan terbang itu berada dalam radar kementerian untuk direalisasikan dengan menggunakan kaedah PPP tertakluk kepada kelulusan pihak MAHB.

TETITIA YUSOFF