fb fb fb fb fb

Lebih 5,000 rakyat Melaka sertai Himpunan 1 juta Pembela Palestin

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

KRUBONG, 29 Oktober- Lebih 5,000 masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa di Melaka, hadir menyertai Himpunan 1 juta Pembela Palestin di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perhimpunan yang disertai lebih 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara itu sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

"Bukan sahaja berhimpun sekadar simpati tetapi menghulurkan derma walaupun serendah RM1 akan memberikan sumbangan yang besar kepada anak-anak Palestin yang sedang kehausan, kelaparan dan juga bergelimpangan jenazah mereka tanpa pusara.

"Saya menyeru supaya rakyat Melaka menzahirkan rasa cinta dan sayang terhadap saudara saudara kita bersama-sama kita menyumbang untuk mengembalikan semula Palestin agar rakyatnya hidup seperti biasa seperti kita di bumi Melaka,"katanya.

Laungan 'Hidup Palestin', 'Merdeka Palestin' dan 'Hancur Zionis' bergema di perkarangan stadium berkenaan bagi membantah serangan tanpa peri kemanusiaan yang meragut ribuan nyawa di kawasan bergolak itu.

Hadirin yang rata-ratanya berpakaian putih tiba seawal 7 pagi dengan mengenakan mafla serta mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

Sementara itu, Datuk Seri Ab Rauf memaklumkan, kerajaan negeri Melaka tidak menghalang mana-mana pertubuhan bukan kerajaan NGO untuk menganjurkan perhimpunan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Tegasnya, setiap penganjuran mestilah mengikut peraturan yang digariskan pihak kerajaan.

"Kita akan meneruskan solidariti dan kita tidak menghalang mana-mana NGO untuk menganjurkan rasa simpati dan juga perhimpunan tetapi mestilah mengikut aturan yang telah digariskan oleh kerajaan.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk menyuarakan rasa simpati dan meneruskan sokongan sebanyak mungkin kepada bumi Palestin dan memberi kesedaran mengenai kekejaman Zionis yang disifatkan sangat keterlaluan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE