fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah berkenan melawat Tapak Arkeologi Sungai Batu Lembah Bujang

Foto facebook Kedah Royal Family

MERBOK, 29 Julai- Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat Melawat Tapak Arkeologi Sungai Batu Lembah Bujang, Merbok.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Abdul Gafar Yahya, Pengarah Bahagian Daftar Warisan merangkap Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Ruzairy Arbi dan Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Utara, Ardi Asmera Saeman.
 
Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah turut berkenan melawat candi-candi yang terdapat di kawasan sekitar Tapak Arkeologi Sungai Batu dan seterusnya melawat Kompleks Arkeologi Pengkalan Bujang.
 
Baginda berdua turut berkenan mecemar duli beramah mesra dan merakamkan potret kenangan bersama hadirin yang hadir sebelum berangkat pulang.
 
Penyelidikan dan ekskavasi arkeologi di tapak baru di Sungai Batu, Lembah Bujang bermula pada Februari 2009. Tapak ini telah ditemui oleh Pusat Penyelidkan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2007.
 
Tapak arkeologi Sungai Batu dijangkakan sebagai kompleks ketamadunan Lembah Bujang kerana meliputi kawasan yang luas, melebihi 3 kilometer persegi dengan 30 pembukitan kecil. Tapak ini terletak di dalam ladang kelapa sawit di jalan Semeling-Merbok. Tapak ini mendedahkan bukti struktur batu bata di permukaannya akibat pembangunan pertanian tanaman kelapa sawit.

Berada di tepi aliran Sungai Batu dan cawangannya yang mungkin merupakan struktur binaan yang mempunyai kaitan dengan sungai, lokasi ini mempunyai keunikan tersendiri iaitu mempunyai sistem pengaliran anak sungai yang menunjukkan seolah-olah setiap permatang terpisah menjadi seperti pulau-pulau. Lokasi Sungai Batu amat strategik untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan pertahanan suatu ketika dahulu.        

ROSLINA BINTI DIN