fb fb fb fb fb

Pelajar tingkatan empat kritikal akibat hisap 'vape'

Foto Hiasan

KEMAMAN, 29 Julai- Seorang pelajar tingkatan empat di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman, Terengganu, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di perkarangan sekolahnya, dipercayai setelah menghisap rokok elektronik atau vape secara berlebihan.

Kejadian berkenaan berlaku Isnin lepas menyebabkan pelajaritu terpaksa diberikan rawatan selepas mengalami kesan teruk akibat pengambilan bahan itu.
 
Menurut sumber, murid yang melihat kejadian itu pada jam 10.30 pagi telah memaklumkan kepada guru sebelum mangsa dibawa ke klinik kesihatan terdekat oleh keluarganya.

Mangsa kemudiannya telah dirujuk ke unit kecemasan Hospital Kemaman.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah mengalami sawan kritikal berpunca dari pengambilan perisa bahan kimia yang berbahaya itu secara berlebihan.

Menurut sumber itu lagi, kegiatan menghisap vape dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan dikesan aktif sejak tiga tahun lalu dan kini berada di tahap yang membimbangkan.
 
Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat keluarga mangsa pada Jumaat lalu.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh keluarga mangsa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI