fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah berangkat ke Program Penanaman Bakau di Sungai Merbok

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, perkenan berangkat ke Program Penanaman Bakau di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok, Jeti Semeling, Kuala Muda/Foto RTM

SUNGAI PETANI, 27 Disember – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, perkenan berangkat ke Program Penanaman Bakau di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok, Jeti Semeling, Kuala Muda, di sini hari ini.

Program anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) itu merupakan langkah awal pelaksanaan inisiatif kehijauan secara berfasa dan berterusan.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, serta anakanda baginda, Tunku Sulaiman Badlishah, manakala Yang Dipertua MPSPK, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, turut hadir pada majlis berkenaan.

Sejurus tiba, Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah serta anakanda baginda diberi taklimat ringkas sebelum berangkat ke tapak tanaman bakau di Kompartmen 9, Hutan Simpan Kekal Sungai Merbok.

Menerusi program itu, sebanyak 500 anak pokok bakau berjaya ditanam sebagai komitmen MPSPK terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem pesisir.

Usaha penanaman bakau itu bukan sahaja berperanan sebagai langkah mitigasi perubahan iklim, malah turut meningkatkan kualiti hidup penduduk, memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta menyokong agenda pembangunan mampan di Daerah Kuala Muda.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN