ALOR SETAR, 27 Disember - Aktiviti tanaman padi bagi Musim 2/2025 di Kawasan Muda masih berada dalam keadaan terkawal walaupun cuaca panas sedang berlaku ketika ini.
Sehingga kini, status kemajuan aktiviti tanaman padi telah mencapai tahap 97.6 peratus bagi aktiviti penyediaan tanah; dan 94.7 peratus bagi aktiviti penanaman. Manakala peringkat berbunga berada pada 0.1 peratus selari dengan jadual pelaksanaan musim.
Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan memaklumkan, Kawasan Muda yang meliputi negeri Kedah dan Perlis kini telah memasuki fasa cuaca panas dan kering susulan penurunan ketara jumlah turunan hujan sejak pertengahan Disember 2025, dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga awal tahun 2026.
"Berdasarkan rekod Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan cuaca panas tanpa hujan telah berlaku selama dua minggu berturut-turut bermula 18 Disember 2025.
"Sepanjang tempoh tersebut, jumlah turunan hujan di Kawasan Muda hanya sekitar 27mm berbanding purata 20 tahun sebanyak 108mm, sekali gus mengesahkan peralihan kepada fasa cuaca kering.
"Sehingga hari ini, paras takungan empangan utama di Kawasan Muda kekal berada pada tahap selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan tanaman," menurut kenyataan itu.
Takungan Empangan Pedu pula berada pada paras 62.41 peratus; Empangan Muda (90.08 peratus) dan Empangan Ahning (67.96 peratus), dengan jumlah keseluruhan takungan kira-kira 66.25 peratus.
Pihak MADA telah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula dan pam-pam bergerak bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi sepanjang tempoh cuaca kering.
Selain itu, pengagihan air secara penggiliran dilaksanakan mengikut keperluan fasa tanaman di setiap wilayah bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air empangan.