fb fb fb fb fb

Cuaca kering, MADA tingkat kawalan serangan haiwan perosak

Foto media sosial

ALOR SETAR, 27 Disember- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil perhatian serius terhadap peningkatan risiko serangan perosak khususnya tikus, yang lazim berlaku ketika cuaca panas dan kering.

Keadaan persekitaran yang kering berpotensi mendorong pergerakan tikus ke kawasan sawah dan memberi ancaman kepada tanaman padi sekiranya tidak dikawal secara bersepadu.

Sehubungan itu, MADA dalam kenyataan memaklumkan kempen kawalan perosak bersepadu menerusi Integrated Pest Management (IPM) sedang dipergiatkan di seluruh kawasan Muda, melibatkan kawalan tikus serta perosak utama lain melalui kaedah yang selamat, berdaftar dan berkesan di samping khidmat nasihat kepada pesawah.

Peladang di kawasan Muda dinasihatkan agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca, mengurus penggunaan air sawah secara berhemah serta melaksanakan kawalan tikus secara berterusan.

Pesawah juga digalakkan mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai MADA di lapangan sekiranya mengesan tanda-tanda awal serangan perosak.

"Pihak MADA komited untuk memastikan kebajikan pesawah serta kelangsungan pengeluaran padi di kawasan Muda terus terjamin melalui pemantauan rapi, pengurusan air yang berhemah dan pelaksanaan kawalan perosak secara bersepadu."

"Kerjasama berterusan antara MADA dan peladang amat penting bagi menghadapi fasa cuaca kering ini secara berkesan dan terkawal," kata kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM