fb fb fb fb fb

Program khatan disaran dilaksana di hospital demi keselamatan kanak-kanak

Semua program khatan, khususnya anjuran badan bukan kerajaan (NGO), disaran diadakan di hospital berbanding premis luar demi keselamatan kanak-kanak/Foto RTM

KOTA BHARU, 27 Disember – Semua program khatan, khususnya anjuran badan bukan kerajaan (NGO) disaran diadakan di hospital berbanding premis luar demi keselamatan kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata hospital mempunyai fasiliti lengkap serta petugas perubatan bertauliah yang mampu bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau menegaskan, walaupun khatan dianggap prosedur biasa jika dilakukan oleh bukan pakar ia boleh mengakibatkan kecederaan serius termasuk pendarahan teruk dan jangkitan.

2712 KTN KHATAN HOSPITAL 2Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob/Foto arkib/BERNAMA

“Kita tidak boleh kompromi dari segi keselamatan pesakit, kita tidak boleh kompromi terhadap pematuhan prosedur yang betul, dan kita tidak boleh kompromi ke atas isu berkaitan hygien dan kawalan infeksi. Kita akan pastikan anak-anak ini menjalani prosedur di fasiliti yang sempurna dengan pegawai perubatan terlatih dan dipantau oleh doktor pakar sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program khatan percuma melibatkan 25 kanak-kanak anjuran Pertubuhan Ayahanda Anakanda Malaysia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Datuk Dr Mohd Azman berkata, polisi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) tidak membenarkan mudim terlibat dalam program khatan di luar hospital.

Semua kerjasama akan dilaksanakan di hospital menggunakan dewan bedah, sekali gus membolehkan pemeriksaan awal bagi mengesan sebarang masalah kesihatan sebelum prosedur dijalankan.

Menurut beliau, di Kelantan kira-kira 15,000 kanak-kanak menjalani prosedur berkhatan setiap tahun.

Setakat ini, tiada kes serius dilaporkan, dengan kebanyakan kes hanya melibatkan pendarahan ringan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN