PADANG BESAR, 27 Disember - Polis sedang mengesan seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang di sini, yang disyaki melarikan diri dari pusat tersebut semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintenden Sarih Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan, kehilangan itu membabitkan pelatih lelaki berusia 25 tahun itu disedari selepas pihak PUSPEN mendapati dia tidak hadir semasa sesi panggilan nama (roll-call) pada 4.15 petang, semalam.
"Sebelum itu, PUSPEN Bukit Chabang mengadakan hari perjumpaan keluarga dari pukul 3.30 hingga 4.00 petang. Pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan namun pelatih berkenaan gagal dikesan dan disyaki melarikan diri.
"Susulan kejadian ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar melancarkan Op Tutup dengan menggerakkan dua pegawai dan 22 anggota serta melaksanakan tiga sekatan jalan raya strategik bagi menghalang pergerakan individu berkenaan," menurut kenyataan itu.
Sarih berkata lelaki berasal dari Kampung Kubang Pangas, Mukim Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah itu, disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diperintahkan menjalani rawatan serta pemulihan selama dua tahun bermula 8 Julai 2025 hingga 8 Julai 2027.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi IPD Padang Besar atau Inspektor Muhammad Aziq Alias menerusi talian 019-6915959 bagi membantu siasatan.