SEREMBAN, 2 Mei- Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menyambut baik saranan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk bergabung membentuk satu gabungan tunggal.
Namun menurut Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar, kementerian perlu menjelaskan kaedah itu dengan terperinci agar pihaknya dapat melaksanakan proses itu dengan baik supaya tiada golongan tercicir dalam pelaksanaan tersebut.
"Kita sebagai badan bukan kerajaaj (NGO) yang mempunyai struktur dan juga ahli yang ramai menyambut baik apa sahaja cadangan daripada kerajaan sama ada penyatuan, pemodenan untuk mempertingkat ekonomi.
"Tetapi kita serahkan kepada pengedali ataupun kepada agensi berkenaan, kita sebagai pengguna ataupun sebagai individu yang melaksanakan perkara ini menyambut baik saranan tersebut.
"Insya-Allah niatnya untuk menggabungkan, memudahkan MINDEF untuk menyalurkan bantuan dan apa juga bentuk sokongan. Ini merupakan satu usaha yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Perniagaan Paroi, di sini.
Terdahulu media melaporkan Kementerian Pertahanan menyarankan PVATM untuk bergabung membentuk satu gabungan tunggal untuk memastikan setiap suara dan isu dibangkitkan dapat diperjuangkan secara kolektif.
Dalam pada itu PVATM juga bakal memperluas rangkaian hub perniagaannya ke 13 negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
Datuk Sharuddin berkata, kerjasama strategik bersama Digital Entrepreneur Country Club (DECC) itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.
"Kita menyediakan hab bukan sahaja barangan basah, malah ia termasuk barangan kering. Jadi kita menjadi pusat setempat yang memblolehkan pengguna untuk mendapatkan barangan yang diperlukan dalam masa singkat.
"Ia akan bermula dari Paroi, Negeri Sembilan kemudian kita akan teruskan di 13 buah negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak. Jadi untuk proses penghantaran barangan dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak ia akan menggunakan laluan udara.
"Selepas itu kita menyasarkan untuk memperluas kawasan tersebut, jadi mereka yang jauh dari hab tersebut boleh mendapatkan barangan keperluan. Jadi mereka ini boleh mendapatkan barangan yang diperlukan menerusi cawangan-cawangan PVATM," katanya lagi.
Bagi menyokong perkhidmatan berkenaan, DECC turut memperkenalkan satu platform digital Redsoga untuk memperluas jaringan secara dalam talian termasuk menyasarkan perniagaan itu ke peringkat ASEAN.