PASIR MAS, 2 Mei- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera di dada dan perut selepas ditikam bapa sendiri di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung Pasir Mas, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Kama Azural Mohamed dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan kejadian tikam pada pukul 9.00 pagi di rumah suspek.
"Hasil siasatan mendapati suspek merupakan bapa kandung mangsa telah menikam kanak-kanak itu sebanyak dua kali di bahagian dada dan satu kali di bahagian perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.
"Punca kejadian dipercayai akibat krisis rumah tangga yang dihadapi suspek yang kini dalam proses penceraian dengan isterinya buat kali ketiga," menurut kenyataan itu.
Menurut beliau, suspek dipercayai mempunyai masalah mental dan telah menerima rawatan psikiatrik sejak 2008.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Pasir Mas dan akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu untuk menerima rawatan lanjut.
Suspek telah ditangkap dan ditahan di Lokap Balai Polis Pasir Mas.
Permohonan reman ke atas lelaki berkenaan akan dibuat di Makhamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.