fb fb fb fb fb

Ahli UMNO perlu terus semangat, perjuang peranan parti

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

BAGAN DATUK, 2 Mei- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh ahli parti terus mengekalkan semangat perjuangan dalam usaha memperkukuh peranan UMNO menjelang pilihan raya.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kekuatan UMNO bukan hanya bergantung kepada jumlah kerusi, tetapi pada kepercayaan rakyat terhadap kestabilan dan sumbangan parti kepada negara.

Sebagai komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO disaran terus memainkan peranan strategik dalam merangka dasar negara, serta mendengar suara akar umbi secara konsisten.

"Walaupun kita menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang, saya tidak mahu mengatakan kita melukut di tepi gantang.

"Walaupun kita hanya ada 26 kerusi daripada UMNO dan empat lagi dari rakan-rakan yang lain namun tujuh orang menteri kabinet yang mewakili kerajaan adalah UMNO selain enam timbalan menteri," katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini.

Beliau juga menegaskan bahawa tiada pemimpin akan dibiarkan berjuang bersendirian merujuk kepada solidariti parti terhadap Datuk Seri Najib Razak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI