BATU KAWAN, 2 Mei- Seorang pemuda yang terjatuh ke dalam laut ketika menyauk kerang di kilometer 4.2 Jambatan Sultan Abdullah Halim Muadzam Shah, di sini ditemukan lemas pagi tadi.
Mangsa Ismail Ahmad, berusia 28 tahun ditemukan oleh sekumpulan nelayan sangkar ikan di Sungai Udang sekitar pukul 9.40 pagi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk proses seterusnya.
Penemuan mayat nelayan itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Shoki Hamzah.
Operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan semalam turut disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan komuniti nelayan sekitar kawasan terbabit.
Bagaimanapun operasi itu dihentikan lewat petang semalam ekoran angin kuat dan hujan lebat.