fb fb fb fb fb

PVATM mohon pelarasan pencen, bantuan kebajikan dan pemberian elaun kenangan

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Pelarasan pencen, bantuan kebajikan secara berterusan untuk veteran tidak berpencen dan pemberian elaun kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia adalah tiga isu yang akan terus diperjuang oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

PVATM dalam kenyataan memaklumkan persatuan itu mengambil pendekatan mengemukakan tuntutan secara berhemah dan rundingan kerana kaedah tersebut merupakan jalan paling sesuai serta terbaik untuk menyelesaikan sesuatu isu.

"Kami menyambut baik dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan dua perkara penambahbaikan kemudahan yang diberikan kepada veteran dan balu ATM," menurut kenyataan itu.

Majlis Angkatan Tentera pada Rabu telah meluluskan dua daripada lima isu kebajikan yang diperjuang oleh PVATM dan rakan seperjuangan lain.

(PVATM)

Isu pertama ialah jangka masa pemberian pencen terbitan kepada isteri yang dikahwini veteran ATM dalam masa persaraan dipanjangkan sehingga veteran mencapai usia 80 tahun kerana sebelum ini, jangka masa itu hanya 20 tahun yang dikira daripada tarikh mula bersara.

Isu kedua pula ialah penubuhan Tribunal atau Jawatankuasa Pengampunan bagi bekas anggota tentera yang diberhentikan atas sebab tatatertib untuk membolehkan mereka diiktiraf sebagai veteran dan mereka boleh menerima kemudahan bantuan kebajikan kerajaan yang disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV). - BERNAMA

Media Baharu