PUTRAJAYA, 15 Disember - Putrajaya melakar satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh kesihatan awam apabila Insektarium Wolbachia diwujudkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad merasmikan fasiliti kedua itu yang dibangunkan bagi memperkukuh pelaksanaan Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia (Wolbachia Mosquito Operation - WMO) untuk memerangi nyamuk Aedes.
Perasmian fasiliti berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Perbadanan Putrajaya dalam memperkasa pendekatan saintifik dan inovatif bagi menangani cabaran penyakit bawaan nyamuk, khususnya denggi.
"Insektarium Wolbachia ini sangat diperlukan kerana ia membantu mengurangkan kes denggi di Putrajaya dan beberapa kawasan lain. Ini merupakan insektarium kedua dibina oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas Johor.
''Dari sudut pihak berkuasa tempatan, kami bekerjasama rapat dengan KKM bagi meningkatkan kesihatan penduduk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan, selaras dengan visi Bandar Sihat,'' jelas Datuk Seri Dr. Zaliha.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis perasmian Insektarium Wolbachia Putrajaya.
Insektarium Wolbachia tersebut merupakan inisiatif strategik yang dicetuskan menerusi keputusan Jawatankuasa Task Force Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, sebuah platform penyelarasan utama isu kesihatan awam bandar.
Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh pelbagai agensi, termasuk Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Majlis Perwakilan Penduduk WP Putrajaya serta pertubuhan COMBI WP Putrajaya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, kes kematian akibat denggi di negara ini mencatatkan pengurangan sebanyak 61.3 peratus, iaitu kepada 43 kes, berbanding 111 kes yang direkodkan pada tahun lepas.
Jelas beliau, kes denggi di seluruh negara turut merekodkan pengurangan kepada 56.5 peratus, iaitu 51,046 kes setakat 6 Disember lepas, berbanding 118,291 kes sepanjang 2024.