fb fb fb fb fb

Isu tanah FGV Terengganu masih dalam rundingan - TPM

Isu tanah Felda Global Ventures (FGV) di Terengganu masih terbuka untuk rundingan.-Foto Bernama

GOMBAK, 15 Disember - Isu tanah Felda Global Ventures (FGV) di Terengganu masih terbuka untuk rundingan dengan keutamaan diberikan kepada kebajikan peneroka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dibawa ke Jemaah Menteri dan FELDA telah membuat pembayaran RM61 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Datuk Seri Ahmad Zahid menjelaskan, isu berkenaan timbul susulan geran atau hak milik tanah yang belum dikeluarkan walaupun pembayaran premium telah dibuat sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada perkara yang tidak boleh dirundingkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Sekiranya rundingan tidak dapat mencapai persetujuan dan tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi, kerajaan bersedia menyerahkan semula tanah berkenaan kepada kerajaan negeri, termasuk menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas peneroka dan semua aktiviti di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI).

Bagaimanapun, beliau menekankan, kerajaan lebih mengutamakan pendekatan kerjasama melalui rundingan antara FELDA, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk menerusi penasihat dan perunding yang dilantik kerajaan negeri.

Tambah beliau, hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara harmoni demi menjamin kelangsungan hidup dan kebajikan peneroka.

Datuk Seri Ahmad Zahid turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh hubungan politik dan pentadbiran sedia ada bagi memastikan kepentingan rakyat, khususnya peneroka FELDA, sentiasa terpelihara.

ASHRIQ FAHMY AHMAD