KUALA LUMPUR, 15 Disember - Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM), serta lawatan rasmi ke luar negara yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjana potensi pelaburan hampir RM500 bilion, sekaligus perkukuh rantaian bekalan tempatan dan membantu vendor serta pembekal berskala kecil.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, 52 projek dengan nilai pelaburan RM123.8 bilion telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan.
"38 projek bernilai RM48.9 bilion pula disasarkan untuk dimuktamad pada tahun ini, sementara baki potensi pelaburan berjumlah RM320.9 bilion dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 2026 hingga 2028," katanya.
Bagi memastikan pelaburan asing benar-benar memberi kesan limpahan ekonomi yang holistik dan nyata kepada negara, MIDA kini sedang melalui proses transformasi peranan.
Menurutnya lagi, MIDA disasarkan untuk memperkasa aspek pemantauan terhadap pelaburan yang telah diluluskan, bukan sekadar berfungsi sebagai agensi penggalakan pelaburan.
Langkah ini bagi memastikan pematuhan pelabur terhadap syarat ditetapkan dan memaksimumkan limpahan ekonomi, selaras New Investment Incentive Framework dan National Investment Policy.
Pada masa sama, MITI juga dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pembangunan Perindustrian dan menambah baik Akta MIDA, bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan memastikan manfaat pelaburan dapat dirasai oleh industri serta ekonomi tempatan.